"Yang mengikat hati-hati orang beriman itu, ukhuwwah.
Dan yang menguatkan ukhuwwah itu adalah iman.
tanpa iman, tiada mungkin ada rasa kasih dan sayang kepada manusia semata-mata kerana Allah.
Setinggi ukhuwwah adalah ithar, melebihkannya lebih dari kita sendiri.
Dan selemahnya adalah berlapang dada."
Bumi Syam-khususnya Palestin sudah lebih 65 tahun dibawah jajahan Zionis Israel melalui pengisytiharan negara haram Irael pada 15 Mei 1948 namun sehingga hari ini masih tidak dapat dibebaskan sekalipun dikelilingi negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria dan Iraq yang mengaku muslim.
Apa puncanya?
| muatan akhbar Helad Tribune semasa perang Arab Israel 1967. |
Banyak usaha-usaha yang dilakukan dari pelbagai cara, melalui perang contohnya Perang Arab Israel pada 1948, 1967 dan 1973, melalui perjanjian damai seperti Perjanjian Camp David pada tahun 1978, Perjanjian Oslo dan lain-lain. Fatah yang bermula dengan penentangan bersenjata walaupun dasarnya nasionalisme, akhirnya juga dijinakkan Israel. Hakikatnya, usaha-usaha yang dilakukan dengan tidak berpaksikan keimanan yang teguh tidak akan bertahan lama. Perjuangan yang punya kepentingan material dan kedudukan akan punah.
Rakyat tidak percaya lagi akan Fatah dan PLO. Mereka terasa dikhianati, banyak kali!
Oleh kerana itu, perjuangan Palestin sehingga hari ini, secara legitimasi dibawa oleh Hamas (حركة المقاومة الاسلامية ) yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Aziz Ar-Rantisi pada tahun 1987. Pada awalnya pergerakan ini lebih tertumpu kepada kebajikan masyarakat. Perjuangan mereka telus dan lurus menuju pembebasan al-Aqsa. Mereka sangat mementingkan pembinaan individu seperti yang ditekankan Hassan al-Banna kepada ahli-ahlinya dalam Ikhwanul Muslimin. Jiwa anak-anak Palestin ditarbiah dengan pendidikan al-Quran. Ekonomi, politik dan pembangunan masyarakat didirikan selari dengan kesyumulan Islam. Mereka membina ummah berteraskan iman.
Sehingga hari ini, Hamas adalah pembela rakyat Palestin.
| Dr Abdul Aziz Rantisi (kiri) dan Syeikh Ahmad Yassin. Kedua-duanya syahid ditembak roket Apache. |
Kita kembali kepada persoalan asas, kenapa sehingga hari ini Palestin masih belum dibebaskan?
Sebelum kita bertanya soalan itu, mari kita tanyakan soalan yang lebih penting,
Adakah kita sudah membebaskan diri kita?
Saat Palestin sudah bebas, kita masih terus tewas- itu rugi.
Saat kita bebas sekalipun al-Aqsa belum bebas- kita pemenang!
Kerana itu saat Khaled Masy'al ketika ditanya oleh penemu bual,
"Apa yang kami boleh bantu?"
Jawabnya, "Bangunkan umat Islam di tempat kamu. Itu bantuan yang besar terhadap kami selain doa-doa yang kamu tembakkan selepas solat dan qiamullail".
Kenapa bukan tentera? Kenapa tak cakap sahaja, "Setakat ini kami kekurangan ubat-ubatan bagi penyakit sekian sekian" atau " Kami perlukan duit sebanyak 100 juta USD untuk menampung persenjataan"?
Kerana yang menjadi kekuatan seorang mukmin ialah iman. Tiada senjata yang boleh menewaskan iman, tiada tentera yang boleh mengalahkan iman.
Dan melalui iman akan wujudnya ukhuwwah. Hati Pak Mat dari Sungai Beris dengan Ammu Hisyam dari Rafah akan terikat. Mereka tidak saling mengenali, tapi tertaut rasa kasih dan sayang, dihubungkan Allah. Hebatnya kuasa iman!
Melalui ukhuwwah yang dibina itu, akan lahir sifat cakna dan ambil berat. Setiap kesusahan yang melanda saudaranya yang jauh beribu batu itu, turut dirasai dari depan TV Pak Mat sekeluarga sewaktu melihat bumi Gaza dihujani bom dan peluru.
Pak Mat juga tidak hanya menyimpan empati itu, dikongsi pula bersama rakan-rakan di Gerai Mak Limah selepas solat Subuh. Akan diceritakan serba sedikit akan isu Palestin. Salah seorang rakannya pula bernama Husaini. Beliau akan menyumbangkan sebahagian gajinya kepada rakyat Palestin setiap bulan, melalui badan NGO, Aqsa Syarif Berhad. Husaini turut memberitahu cara-cara sumbangan yang boleh dilakukan selain penolakan gaji setiap bulan.
Penghulu kampung, tok bilal dan tok Imam yang mendengar turut terkesan dengan cerita pada pagi tersebut. Mereka biasanya setiap pagi akan bercerita tentang politik negara, ekonomi serta gejala sosial masyarakat melalui akhbar-akhbar arus perdana.
Jika di surau biasa ceramah agamanya berkenaan solat, wudhu dan perkara seumpama, isu Palestin disentuh setahun sekali semasa sambutan Isra' dan Mikraj, kali ini mereka akan mendengar ceramah Palestin yang luar dari kebiasaan.
Itu Pak Mat yang bekerja sebagai penoreh getah di Sungai Beris, Kedah. Dengan iman, Pak Mat, keluarga dan masyarakat sekitar tertaut hati mereka dengan saudara-saudara di Palestin, dan umat Islam seluruh dunia.
Bagaimana kita, adakah usaha kita sejajar dengan kemampuan?
Orang Islam itu saudara kepada orang Islam yang lain. Mereka tidak menzaliminya, tidak mengkhianatinya, juga tidak membiarkannya (kepada orang yang memerangi mereka)
(Riwayat Abu Daud)
saudara seiman itu adalah dirimu
hanya saja dia itu orang lain
sebab kalian saling percaya
maka kalian adalah satu jiwa
hanya saja kini sedang hinggap di jasad yang berbeda
-al kindi-

*cerita di atas adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan sama ada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Adib 'Afifi
Unit R&D Aqsa Syarif Iskandariah
No comments:
Post a Comment