Wednesday, September 18, 2013

Sabra dan Shatila - Pengkhianatan dunia terhadap rakyat Palestin



Bagi rakyat Malaysia, tanggal 16 September adalah tarikh penting menandakan terbentuknya sebuah negara berdaulat bernama Malaysia dan terbebasnya wilayah Sabah dan Sarawak dari penguasaan penjajah. Namun, bagi rakyat Palestin, pada tarikh yang sama tahun 1982, satu peristiwa tragis telah menimpa mereka yang amat jelas menunjukkan PENGKHIANATAN dunia kepada rakyat Palestin.

*****
Mengalirnya darah insan tidak berdosa di Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat manakala Shatila pula adalah pusat perlindungan untuk pelarian Palestin sejak 1949 lagi. Menjelang 1949 sahaja, sudah ada lebih 100 000 pelarian Palestin yang berada di Lebanon termasuk Shatila dan bilangannya terus bertambah sehingga sekarang. Sabra dan Shatila adalah berhampiran dan interaksi yang berlaku antara penduduk Lebanon di Sabra dan pelarian Palestin di Shatila menyebabkan kejiranan itu secara tidak rasmi dikenali sebagai ‘Kem Sabra dan Shatila’.

*****
PLO dan Kumpulan Militia Phalangists

Palestine Liberation Organisation(PLO) ditubuhkan pada tahun 1964 sebagai badan induk yang memayungi beberapa pertubuhan lain dalam usaha membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari Zionis Israel. Pada 1969, Perdana Menteri lebanon telah memberi kebenaran kepada pihak PLO untuk menjadikan Lebanon sebagai pengkalan operasi menentang Israel. Pejuang PLO semakin bertambah menjelang awal 70-an apabila pejuang PLO di Jordan diusir. Perkara ini telah merunsingkan Israel dan juga telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan dengan penduduk dan kumpulan militia tempatan khususnya kumpulan Phalangists. Beberapa siri serangan telah dilakukan oleh PLO ke atas Israel melalui selatan Lebanon yang mengentarkan Israel sehingga memaksa mereka melakukan serangan balas.

*****
6 Jun 1982 - bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila.

Bagi menghentikan serangan dari selatan Lebanon khususnya dari PLO, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan balas sehinggalah pada 6 Jun 1982, bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila apabila Israel menghantar sekitar 60,000 tentera memasuki Lebanon untuk menghapuskan PLO. Walaupun mendapat ‘kecaman’ dari Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Israel dengan dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk kumpulan militia Phalangists berjaya memasuki Lebanon dan menjelang 18 Jun 1982, mereka sudah berjaya mengepung pejuang PLO di Beirut Barat.

*****
Gencatan senjata dan PENGKHIANATAN

Kepungan berterusan oleh Israel yang berlarutan selama hampir 2 bulan telah menimbulkan kerisauan berlakunya bencana kemanusiaan yang besar jika Israel melancarkan serangan terhadap pejuang PLO serta penduduk setempat. Atas ‘usaha dan perantaraan’ wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara Israel dan pejuang PLO.

Antara perjanjian yang dipersetujui adalah pejuang dan pegawai-pegawai PLO perlu meletakkan senjata, meninggalkan bumi Lebanon dan menutup serta menghentikan semua operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran atau lebih tepatnya PROSES PENGUSIRAN ini dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa(Amerika Syarikat, Itali dan Perancis) dan mereka dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari tarikh ketibaan mereka. Mereka juga BERTANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KESELAMATAN penghuni kedua-dua kem tersebut termasuk ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan Shatila. Di pihak Israel pula, mereka BERJANJI tidak akan meneruskan kemaraan mereka ke Beirut.

*****
Janji untuk dikhianati!!!

Pengunduran pejuang PLO yang bermula pada 24 Ogos 1982 itu selesai sepenuhnya menjelang 1 September 1982. Pengkhianatan bermula apabila Israel mula menempatkan tenteranya di sekeliling kedua-dua kem tersebut 2 hari selepas pengunduran pejuang PLO selesai. Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa pula melaksanakan peranan mereka dan mula meninggalkan kawasan tersebut lebih awal dari yang dijanjikan!!!

*****
Dunia menyaksikan pembunuhan ini.

Drama pembunuhan ini semakin jelas apabila pada 11 September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu ‘mengisytiharkan’ terdapat seramai 2 000 ‘pengganas’ Palestin yang bersembunyi di kalangan pelarian di khemah-khemah pelarian sekitar Beirut. Bermula pada 15 September, sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi sekutu kuat Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan mengepung kem Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15 September itu, seluruh penempatan telah dikepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Pos-pos kawalan tentera didirikan bagi memantau pergerakan penduduk di dalam kem.

Tanggal 16 September adalah tarikh yang tidak akan dilupakan. Sepasukan tentera Phalangists sekitar 150 orang mula memasuki kem Sabra dan Shatila dan tragedi bermula.

Dunia menyaksikan untuk tempoh 40 jam kemudian, tentera Phalangists ini merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang awam yang TIDAK BERSENJATA. Kebanyakan mangsa adalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Bagaikan neraka, rakyat awam tiada jalan keluar akibat kepungan kukuh oleh tentera Israel. Keganasan tentera Phalangists ini berterusan sehingga 18 September 1982.

Jumlah angka korban adalah antara 700(angka rasmi Israel) hingga 3500 orang. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang telah dihukum atas keganasan terancang ini bahkan disokong oleh beberapa kerajaan lain.

*****
Dunia terus membisu

Dengan 4000 angka kematian yang sibuk dilaungkan oleh Amerika Syarikat akibat ‘serangan pengganas’ 11 September 2001 terhadap Pusat Dagangan Dunia(WTC), mereka telah melancarkan ‘kempen peperangan menentang keganasan’ yang telah memusnahkan dua buah negara - Afghanistan dan Iraq, yang sehingga kini TIDAK MENEMUI sebarang bukti sahih untuk mengaitkan pengganas dengan tragedi tersebut. Dan kempen ini masih diteruskan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan kem Sabra dan Shatila ini. Jelas, yang terbunuh adalah dari kalangan wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersenjata, dan yang lebih menyayat hati adalah mereka dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat PERLINDUNGAN ANTARABANGSA melalui jaminan yang ditaja sendiri oleh Amerika Syarikat, dan peristiwa ini berakhir seperti tiada apa yang berlaku.

Permainan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam ‘misi keamanan’ yang dilancarkan mereka lebih jelas kalau kita lihat dari siri-siri pembantaian rakyat awam seperti kes di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya dan lain-lain. Peranan mereka sebagai pembantu dalam ‘menghapuskan keganasan’ seperti dihalalkan oleh seluruh pemimpin negara Islam apabila tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka begitu juga dengan Konferens Organisasi Islam(OIC).

*****
Peranan kita

Tragedi berdarah Sabra dan Shatila ini akan terus diingati bagi mereka yang merasakan semua mangsa terbabit itu ialah saudara-mara mereka. Tragedi ini hanya satu bahagian kecil daripada siri-siri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Peranan kita adalah untuk terus membongkar siri-siri kekejaman Israel ini dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya untuk kita membebaskan cengkaman Israel terhadap negara Palestin keseluruhannya. [HR]

Sumber: Al-Aqsa Dalam Bahaya, Dr Maszlee Malik

Monday, September 16, 2013

Bumi Syam dan keimanan

"Yang mengikat hati-hati orang beriman itu, ukhuwwah.
Dan yang menguatkan ukhuwwah itu adalah iman.
tanpa iman, tiada mungkin ada rasa kasih dan sayang kepada manusia semata-mata kerana Allah. 
Setinggi ukhuwwah adalah ithar, melebihkannya lebih dari kita sendiri.
Dan selemahnya adalah berlapang dada."

Bumi Syam-khususnya Palestin sudah lebih 65 tahun dibawah jajahan Zionis Israel melalui pengisytiharan negara haram Irael pada 15 Mei 1948 namun sehingga hari ini masih tidak dapat dibebaskan sekalipun dikelilingi negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria dan Iraq yang mengaku muslim.

Apa puncanya?
muatan akhbar Helad Tribune semasa perang Arab Israel 1967.

Banyak usaha-usaha yang dilakukan dari pelbagai cara, melalui perang contohnya Perang Arab Israel pada 1948, 1967 dan 1973, melalui perjanjian damai seperti Perjanjian Camp David pada tahun 1978, Perjanjian Oslo dan lain-lain. Fatah yang bermula dengan penentangan bersenjata walaupun dasarnya nasionalisme, akhirnya juga dijinakkan Israel. Hakikatnya, usaha-usaha yang dilakukan dengan tidak berpaksikan keimanan yang teguh tidak akan bertahan lama. Perjuangan yang punya kepentingan material dan kedudukan akan punah.


Rakyat tidak percaya lagi akan Fatah dan PLO. Mereka terasa dikhianati, banyak kali!

Oleh kerana itu, perjuangan Palestin sehingga hari ini, secara legitimasi dibawa oleh Hamas (حركة المقاومة الاسلامية ) yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin  dan Dr Aziz Ar-Rantisi pada tahun 1987. Pada awalnya pergerakan ini lebih tertumpu kepada kebajikan masyarakat. Perjuangan mereka telus dan lurus menuju pembebasan al-Aqsa. Mereka sangat mementingkan pembinaan individu seperti yang ditekankan Hassan al-Banna kepada ahli-ahlinya dalam Ikhwanul Muslimin. Jiwa anak-anak Palestin ditarbiah dengan pendidikan al-Quran. Ekonomi, politik dan pembangunan masyarakat didirikan selari dengan kesyumulan Islam. Mereka membina ummah berteraskan iman. 

Sehingga hari ini, Hamas adalah pembela rakyat Palestin.


Dr Abdul Aziz Rantisi (kiri) dan Syeikh Ahmad Yassin. Kedua-duanya syahid ditembak roket Apache.

Kita kembali kepada persoalan asas, kenapa sehingga hari ini Palestin masih belum dibebaskan?

Sebelum kita bertanya soalan itu, mari kita tanyakan soalan yang lebih penting, 

Adakah kita sudah membebaskan diri kita?

Saat Palestin sudah bebas, kita masih terus tewas- itu rugi.

Saat kita bebas sekalipun al-Aqsa belum bebas- kita pemenang!

Kerana itu saat Khaled Masy'al ketika ditanya oleh penemu bual, 

"Apa yang kami boleh bantu?"

Jawabnya, "Bangunkan umat Islam di tempat kamu. Itu bantuan yang besar terhadap kami selain doa-doa yang kamu tembakkan selepas solat dan qiamullail".

Kenapa bukan tentera? Kenapa tak cakap sahaja, "Setakat ini kami kekurangan ubat-ubatan bagi penyakit sekian sekian" atau " Kami perlukan duit sebanyak 100 juta USD untuk menampung persenjataan"?

Kerana yang menjadi kekuatan seorang mukmin ialah iman. Tiada senjata yang boleh menewaskan iman, tiada tentera yang boleh mengalahkan iman. 

Dan melalui iman akan wujudnya ukhuwwah. Hati Pak Mat dari Sungai Beris dengan Ammu Hisyam dari Rafah akan terikat. Mereka tidak saling mengenali, tapi tertaut rasa kasih dan sayang, dihubungkan Allah. Hebatnya kuasa iman!

Melalui ukhuwwah yang dibina itu, akan lahir sifat cakna dan ambil berat. Setiap kesusahan yang melanda saudaranya yang jauh beribu batu itu, turut dirasai dari depan TV Pak Mat sekeluarga sewaktu melihat bumi Gaza dihujani bom dan peluru.

Pak Mat juga tidak hanya menyimpan empati itu, dikongsi pula bersama rakan-rakan di Gerai Mak Limah selepas solat Subuh. Akan diceritakan serba sedikit akan isu Palestin. Salah seorang rakannya pula bernama Husaini. Beliau akan menyumbangkan sebahagian gajinya kepada rakyat Palestin setiap bulan, melalui badan NGO, Aqsa Syarif Berhad. Husaini turut memberitahu cara-cara sumbangan yang boleh dilakukan selain penolakan gaji setiap bulan. 

Penghulu kampung, tok bilal dan tok Imam yang mendengar turut terkesan dengan cerita pada pagi tersebut. Mereka biasanya setiap pagi akan bercerita tentang politik negara, ekonomi serta gejala sosial masyarakat melalui akhbar-akhbar arus perdana.

Jika di surau biasa ceramah agamanya berkenaan solat, wudhu dan perkara seumpama, isu Palestin disentuh setahun sekali semasa sambutan Isra' dan Mikraj, kali ini mereka akan mendengar ceramah Palestin yang luar dari kebiasaan. 


Itu Pak Mat yang bekerja sebagai penoreh getah di Sungai Beris, Kedah. Dengan iman, Pak Mat, keluarga dan masyarakat sekitar tertaut hati mereka dengan saudara-saudara di Palestin, dan umat Islam seluruh dunia.

Bagaimana kita, adakah usaha kita sejajar dengan kemampuan?


Orang Islam itu saudara kepada orang Islam yang lain. Mereka tidak menzaliminya, tidak mengkhianatinya, juga tidak membiarkannya (kepada orang yang memerangi mereka)

(Riwayat Abu Daud)



saudara seiman itu adalah dirimu

hanya saja dia itu orang lain

sebab kalian saling percaya

maka kalian adalah satu jiwa
hanya saja kini sedang hinggap di jasad yang berbeda

-al kindi-






*cerita di atas adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan sama ada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. 


Adib 'Afifi 
Unit R&D Aqsa Syarif Iskandariah

Sunday, July 28, 2013

Syria: Bagaimana kefahaman dan sikap kita terhadapnya?

بسم الله الرحمن الرحيم

PEMBUKA KALAM

Segala puji bagi Allah yang memberikan peluang kepada kita untuk hidup dalam islam dan iman. Kerana tanpa iman dan islam tiadalah nilai hidup kita di atas dunia.

Dalam melalui bulan Ramadhan yang mulia ini, kita tidak dapat lari dari isu-isu yang cukup mencabar, sebahagiannya menguji akidah dan pegangan ummah, sebahagian pula meruntun jiwa dan begitu menyakitkan. Pembunuhan dan kezaliman yang berlaku di Mesir, Palestin dan Syria serta negara-negara lain, khususnya kepada umat islam bukannya perkara yang baru. Kelemahan umat islam adalah kerana jauhnya kita dari al-Quran dan as-Sunnah. Mengembalikan yang haq bukanlah perkara mudah, ia adalah jalan yang panjang dan penuh ranjau. Pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, Rasulullah saw dan para sahabat r.anhum semasa zaman awal dakwah islam juga menerima ujian yang amat besar. Ghazwatul Badr, perang pemisah antara haq dan batil (juga dikenali sebagai al-Furqan) menjadi sangat penting dalam pengembangan syiar Allah sehinggakan baginda saw sendiri menadah tangannya memohon kepada Allahul Wakil dengan sepenuh jiwa:

"Ya Allah, Jikalau Engkau mengalahkan tentera Badar pada hari ini, nescaya tiada lagi manusia yang akan menyembahmu selepas ini"

Allah memperkenankan doa baginda saw dalam surah al-Anfal, mewahyukan para malaikat menyertai tentera islam secara berperingkat;


(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (al-Anfal:12)

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.(al-Anfal:9)


Akhirnya, yang Haq itu pasti akan menang. Itu adalah sunnatullah. Mari kita beralih pula kepada topik perbincangan kita.

SYRIA: COMPASS SETTING

Pada 28 Jun 2013 saya telah mengikuti pengisian Dr Hafidzi Mohd Noor di Masjid Negeri.  Beliau merupakan Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, ketika ini dipinjamkan kepada i4S(IKRAM for Syria) selama setahun untuk menfokuskan kepada isu Syria yang ketika ini sudah mencapai tahap yang kritikal.

Apabila bercakap mengenai isu Syria, kita harus mempunyai kefahaman yang jelas berasaskan kepada wahyu al-Quran dan Hadith. Hal ini kerana sebahagian kita memahami isu ini dari sisi pandang pengkaji Barat yang kurang tepat. Mereka melihat isu Syria dari aspek negara bangsa, bermaksud hanya merujuk kepada negara Syria semata-mata. Kesan pehamanan begini akhirnya menjadikan umat Islam meletakkan isu Syria kurang penting dan hanya fokus kepada Palestin semata-mata. Ini hakikatnya tidak betul.

Kita mesti memahami bahawa wilayah-wilayah islam semasa dibawah pemerintahan islam, mereka semua bernaung dibawah satu khilafah, kecuali semasa zaman bani Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah dimana ada beberapa wilayah yang diperintah secara berasingan. Sempadan sewaktu zaman islam tidaklah sama seperti sempadan negara-negara seperti yang dilihat pada hari ini. Maka sebab itulah dalam hadith-hadith kita tidak akan menemui perkataan Palestin, tetapi yang disebut ialah Baitul Maqdis dan juga bumi Syam.

Dr Hafidzi ada menjelaskan dengan lebih dalam berkenaan perkara ini, tetapi cukup untuk kita fahami secara umum bahawa kita harus mengubah paradigma yang melihat isu ini mengikut sempadan negara bangsa yang telah menjajah pemikiran sebahagian besar umat islam hari ini. Pergolakan yang berlaku di Syria tidak boleh dipisahkan dalam perjuangan kita membebaskan al-Aqsa dan Palestin. Syria adalah sebahagian dari bumi Syam. (Bumi Syam merangkumi Lubnan, Jordan, Syria dan Palestin). Maka tidak mahu tidak kita wajib memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada Syria sebagaimana terhadap Palestin, bahkan lebih aula mengutamakan Syria melihat kepada keadaan ketika ini.

PERTEMBUNGAN DI SYRIA ANTARA MAZHAB ATAU AGAMA?

Sebelum saya mengulas sedikit mengenai perkara diatas, fahami satu konsep mudah: kezaliman mesti diperangi sehingga tiada lagi kezaliman dengan cara/metod yang digariskan syara' sekalipun dia/ mereka itu muslim.


Mari kita telusuri sedikit latar belakang Basyar dan pegangannya.

Basyar Assad merupakan anak kedua dari 5 adik-beradik. Selepas abangnya mati dalam kemalangan, dia pulang ke tanah air menjadi Presiden Syria pada tahun 2000 berikutan kematian ayahnya, Hafez Assad yang telah memerintah selama 30 tahun. Basyar dan keluarganya menganut pegangan Nusairiyah.

Secara ringkasnya, Syiah terbahagi kepada beberapa kumpulan, yang terbesar adalah Syiah Imamiyyah/Ja'fariyyah atau Syiah Imam 12. Mereka meliputi 90% penduduk Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Kumpulan Syiah yang lebih kecil termasuklah Syiah Zaidiyyah yang lebih dekat dengan fahaman Ahlus Sunnah, dan Syiah Nusairiyyah. Pengikut Nusairiyyah sebelum itu dikenali sebagai Alawiyyah, mengambil nama Ali bin Abi Thalib ra.

Ajaran ini diperbaharui oleh Muhammad ibnu Nusairi 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw. Pegangan ini menggabungkan kepercayaan agama Kristian, pagan dan juga Islam. Ia adalah ajaran yang sesat dan digolongkan dalam kumpulan Syiah yang ekstrim. Kesesatan mereka menyebabkan Imam Ibnu Taimiyah, Ibn Kathir dan Ibn Qayyum mengkafirkan ajaran Syiah Nusairiyyah. Oleh sebab itu jika kita lihat penyeksaan dan pembunuhan mereka terhadap umat Islam begitu sadis dan kejam kerana kebencian mereka yang terlalu mendalam dan membengkak sekian lama. Jelasnya Syiah Nusairiyyah (dalam kes ini) sudah terang-terangan keluar dari Islam, dan para ulama telah bersepakat bahawa Syiah Nusairiyyah status mereka kafir.

Kita perlu jelas dengan perkara ini kerana kekeliruan dan kekaburan boleh menyebabkan kita tidak jelas dalam pendirian dan tindakan kita. Segelintir pihak berdiam diri dan sebahagiannya kurang setuju akan tindakan menentang pemerintah Syria, mungkin disebabkan kerana mereka buta sejarah, dan mungkin juga mereka melihat ini adalah konflik sektarian, iaitu pertembungan antara mazhab Sunni dan Syiah secara umum, ataupun berpandangan hal ehwal dalaman Syria tidak patut ada campur tangan luar. Semuanya kembali kepada kenyataan ini: tidak faham.


APA SIKAP DAN PERANAN KITA?


Ini adalah bahagian terpenting bagi merumuskan sikap dan peranan kita setelah semua penjelasan yang diterangkan di atas. Berikut adalah fatwa yang diputuskan oleh Muktamar Syria anjuran al-Ittihad al-Alami Lil Ulama al-Muslimin (The International Association of Muslim Scholars) yang dipengerusikan oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi) dan Rabitah Ulama Suriyiin (Syria) dari 1 - 3 Julai 2012 di Istanbul, Turki .

1) Wajib bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria kerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.

2) Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim.

3) Haram bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada regim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.

4) Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria.

5) Haram membunuh di atas dasar hawa nafsu dan juga kepuakan. Haram hukumnya membunuh dan menumpahkan darah tanpa hak. Akan tetapi apabila berada di dalam medan jihad, maka ia merupakan kewajipan untuk mempertahankan maruah diri dan juga agama. Kami juga mengingatkan kepada Tentera Pembebasan Syria agar berjihad tujuannya adalah untuk mempertahankan maruah diri, agama dan juga negara bukan kerana lain.


Saya menyeru buat diri dan rakan-rakan agar menginfaqkan diri untuk menyumbang dalam apa jua bentuk, khususnya menjadi speaker isu Syria, memberikan penerangan kepada masyarakat sekitar kita sehinggalah Syria bebas dari kezaliman Basyar Assad. Kemenangan islam adalah pasti. Tetapi sebelum itu kita perlu persiapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang jelas. Dr Hafidzi ketika ini sedang rancak melakukan roadtour ke seluruh negara bagi memberikan pengisian dalam program Training of Syria Speakers (TOSS), antum boleh ikuti page i4S (IKRAM for Syria) ataupun profil fb Dr Hafidzi Mohd Noor sendiri. Sama-sama kita menjadi asbab kemenangan ummah, dan sama-sama menjadi sebab agar Allah terus menerima kita untuk terus tsabat di jalanNya.

Photo: dahulu, kami dikenali dengan nama kami sendiri.

kini, dunia hanya memanggil kami dengan nama "pelarian Syria".


-------------------------



MISI IKRAM ke SYRIA 1 (MISI 1) pada 26 Julai ini mensasarkan RM1JUTA 
sumbangan rakyat Malaysia untuk dibawa ke Syria.

Sumbangan boleh dilakukan kepada Tabung Kasih Ummah Syria
Bank Islam Malaysia Berhad 120290 100 63512 (Pertubuhan IKRAM Malaysia)

Teruskan menyumbang & membantu rakyat Syria.
Ustaziatul alam (kesejahteraan alam) cita-cita umat ini. Peace!

“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”. (Al-Maidah:2)

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya” (HR Bukhari)


Wallahua'lam.

Adib 'Afifi Abdul Rahim

Unit R&D Aqsa Syarif Iskandariah

Saturday, November 17, 2012

A2G EMERGENCY RELIEF

GAZA SEDANG DISERANG. Sebagai rakyat dan umat yang prihatin, mari

 hulurkan sumbangan KECEMASAN UNTUK GAZA disamping perasaan simpati 

dan do'a yang kita panjatkan. Aqsa Syarif sedang mengumpulkan dana dan

 sebahagiannya sedang disalurkan di Gaza.